Arnab merupakan sejenis mamalia dalam kumpulan order lagomorpha dari alam haiwan filum kordata. Haiwan ini hidup secara berkoloni dan tinggal didalam lubang yang dikorek. Haiwan ini pada asal hidup pada persekitaran bebas di zon iklim sederhana. Haiwan ini membiak dengan cara melahir, menyusu dan menjaga anak sepanjang tempoh pembesaran sehingga cerai susu.Tidak kurang dari 72 spesis yang telah dikenalpasti di seluruh dunia yang sebahagian besarnya terdapat di Benua Eropah, Amerika dan Australia. Secara amnya, arnab yang berada di persekitaran tropika termasuk Malaysia adalah arnab penghijrah yang dibawa oleh kaum pendatang seperti pedagang, penjajah dan juga migran. Di kawasan beriklim sederhana, arnab dianggap musuh kepada peladang. Ini kerana, arnab adalah spesis herbivor iaitu memakan hampir semua tumbuhan hijau. Dalam habitat semulajadi, seekor arnab mampu menghabiskan 1 kilogram tumbuhan hijau sehari. Dengan kadar kelahiran yang tinggi amat cepat berkembang telah menyukarkan para peladang untuk mengawal populasi. Tempoh matang arnab betina ialah 4 hingga 5 bulan dan 5 hingga 6 bulan bagi pejantan. Seekor induk betina boleh melahirkan purata 5 ekor anak dalam satu-satu masa dan dalam tempoh 48 jam akan mengawan semula. Tempoh bunting arnab ialah antara 30 - 35 hari. Jangka hayat maksimum arnab ialah 12 tahun. Untuk penternakan komersial, Umur maksimum 2 tahun adalah tempoh yang sesuai dan produktif.
Arnab diternak di seluruh dunia untuk untuk pelbagai tujuan. Di Eropah dan Asia, arnab merupakan sumber makanan penting. Arnab menghasilkan daging putih yang halus, tinggi protein, rendah lemak, sangat enak, dan boleh menggantikan unggas di sebahagian besar resepi. Bangkai arnab hanya terdiri dari 20 peratus tulang. Di Amerika Syarikat, penternakan arnab lebih diutamakan untuk tujuan penghasilan kulit sebagai perhiasan dan pakaian. Penyelidikan perubatan dan kosmetik juga memerlukan sejumlah besar arnab setiap tahun. Ramai penternak menternak arnab sebagai hobi semata-mata tanpa menyedari bahawa sumber protin yang terdapat dalam daging arnab amat sesuai untuk diet pemakanan alternatif yang berkualiti tinggi.
Dunia penternakan arnab di Malaysia lebih mengenali arnab sebagai spesis haiwan yang diternak atau dibela sebagai haiwan kesayangan. Sifatnya yang manja, mesra dan menawan serta mudah dilatih telah menenggelamkan produk lain yang boleh dimanfaatkan seperti daging, bulu, kulit serta kompos. Ditambah pula sifat penyayang masyarakat Malaysia, haiwan ini gagal dimanfaat untuk sajian seisi keluarga.Penggunaan dalam penyelidikan, perubatan, pameran dan pertunjukan haiwan serta tarikan ke pusat-pusat rekreasi juga merupakan satu nilai tambah produk berasaskan arnab.Produk siap seperti penghasilan daging burger, sate, sosej, makanan ditinkan, serunding yang merupakan sebahagian dari diet pemakanan rakyat Malaysia amat sukar diperolehi dipasaran tempatan. Sehingga kini, tidak ramai pengusaha penternakan di Malaysia mengusahakan ternakan ini secara produktif. Sedangkan prospek penternakan ini amat cerah untuk dikomersialkan samada diperingkat domestik atau antarabangsa.Terlalu bergantung kepada beberapa jenis ternakan sahaja bukanlah satu langkah yang bijak dalam memastikan stok daging negara mencukupi untuk jangka masa yang panjang.Dengan kepelbagaian produk yang boleh dihasilkan, penternakan berskala besar perlu digiatkan. Kerajaan seharusnya membantu menyediakan kemudahan dan skim galakan bagi memungkin penternakan ini berdaya saing dalam memenuhi stok daging negara. Kemudahan pembiayaan kewangan, Latihan dan pemasaran amatlah diperlukan. Kajian dan penyelidikan dalam penghasilan produk berasaskan arnab perlu ditingkatkan.Malaysia akan terus menjadi pengimport tegar produk daging untuk beberapa dekad akan datang jika tiada usaha berterusan dilakukan mulai sekarang dalam memperkayakan koleksi penternakan komersial.
No comments:
Post a Comment